SEJARAH KEM KOK KELI    


 

Sejarah Kem Kok Keli

Latar Belakang :

Kem Kok Keli terletak dalam Mukim Kok Keli, Daerah Sungai Pinang, Jajahan Tumpat, Kelantan. Kem tersebut terletak di antara Kampung Sungai Pinang dengan Bandar Tumpat. Kem Kok Keli dibuka dengan rasminya pada 22 November 1951 oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan pada masa itu, Tengku Yahya Petra bin Sultan Ibrahim.

 

Pembukaan Rasmi Kem Kok Keli oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan.

Pada 22 haribulan November 1951

Keluasan kem tersebut lebih kurang 8 ekar 144 depa dan diletakan di bawah kuasa Persekutuan Pengakap Tumpat. Pada 10 November 1954 sempena dengan Rally Pengakap, Kem Kok Keli dilawati oleh Lord Rowalland ~ Ketua Pengakap Komanwel ( pada masa itu ) dan beliau meninggalkan kesan tapak  kaki serta menanam pokok BP di kem berkenaan.

Tapak Kaki Lord Rowalland diambil ketika beliau melawati Kem Kok Keli Pada 10 Nov 1954

 

Pemkembangan Kem Pengakap Kok Keli :

 Pembinaan Pagar :

 Pembinaan pagar di sekeliling kawasan perkhemahan Kem Pengakap Kok Keli telah diusahakan oleh Encik Rafie bin Haji Che Mat, Setiusaha Majlis Pengakap Daerah Tumpat dengan sokongan dari Yang Berhormat Tuan Haji Mansor bin Salleh, Yang Dipertua Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Tumpat. Projek ini diluluskan oleh Tan Seri Dato” Haji Mohamed bin Yaacob, Menteri Besar Kelantan pada 27 Oktobor 1989 dengan sumbangannya dari wang Kerajaan Negeri Kelantan sebanyak RM 25,000.00. Kelulusan sumbangan tersebut dilakukan sewaktu beliau merasmikan Rally Kedua Pengakap di Kem Pengakap Kok Keli. Pagar mula dibina pada bulan April 1990 dan pembinaan pagar di kem tersebut dilakukan secara gotong royong. Kerja gotong royong untuk membina pagar kem dilakukan oleh Pasukan Pengakap Daerah Tumpat dengan kerjasama dari beberapa orang penduduk tempatan yang berdekatan. Dengan terbinanya pagar tersebut, kawalan terhadap ahli pengakap dapat dilakukan dengan lebih baik.

 Pembinaan Musalla Kem :

Musalla untuk Kem Pengakap Kok Keli dibina pada bulan Mei tahun 1990. Bahan yang digunakan untuk membina musalla berkenaan adalah melalui ehsan Jabatan Pendidikan Kelantan yang telah memberi kebenaran untuk mengunakan bahan rumah guru di Sekolah Menengah Dato” Biji Wangsa yang telah dirobohkan kerana lanjutan usia. Tenaga kerja utama membina musalla berkenaan adalah dari Pasukan Pengakap Kelana Daerah Tumpat sendiri. Musalla Kem Pengakap Kok Keli yang didirikan itu dapat menampung seramai kira-kira seramai 100 orang jemaah pada satu-satu masa untuk bersolat.

 Pembinaan Tandas Dan Bilik Mandi :

 Pembinaan tandas dan bilik mandi untuk kegunaan ahli pengakap , peserta-peserta termasuk pegawai yang berkhemah terletak di bahagian hadapan musalla Kem Kok Keli. Projek ini telah diusahakan oleh Encik Mohd. Hazmi bin Yahya, Waden Kem Kok Keli. Pembinaan tersebut dimulakan pada April tahun 2001. Dengan adanya bangunan tandas, bilik mandi serta musalla, peserta yang berkhemah disini merasa lebih selesa. Oleh yang demikian dengan adanya perubahan ini lebih ramai kumpulan yang memgunakannya termasuk :Kumpulan pengakap terutama kumpulan dari Daerah Tumpat, peserta – peserta dari pasukan beruniform dan organasasi yang lain.

Pembinaan Tambahan Tandas Dan Bilik Mandi Di Kawasan Perkhemahan :

 Terbinanya bangunan ini adalah atas usaha Encik Abdullah bin Salleh, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tumpat sekarang bersama dengan Encik Zulkifli bin Mat Ail, Pengerusi Pasukan Latihan Pengakap Daerah Tumpat. Pembinaannya dilakukan oleh pihak kontraktor dan juga secara gotong – royong yang terdiri daripada ahli pengakap dan juga penduduk tempatan. Projek ini dimulakan pada bulan Mac tahun 2001 dan siap pada bulan Mei 2001 yang memakan masa selama tiga bulan sahaja. Dengan penambahan bangunan tersebut  maka Kem Kok Keli kini mampu menampung lebih ramai lagi ahli Pengakap atau peserta – peserta beruniform dan organisasi lain untuk mengadakan perkhemahan di sini.

 Bekalan Elektrik Di Kem Kok Keli :

 Projek untuk mengadakan bekalan eletrik dijalankan secara upah dan gotong royong yang dimulakan pada bulan Februari 2001 dan siap pada bulan Mei 2001.Kos untuk mengadakan projek ini adalah dari sewaan kem dan lebihan wang kursus yang dilakukan oleh Pasukan Latihan Daerah Tumpat serta sumbangan dari Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Tumpat sendiri.

 

Muka Depan