|
MESEJ DARIPADA PESURUHJAYA NEGERI KELANTAN |
|
MESEJ MAJALAH KILATAN BULAN OGOS 2008 Tujuan Dan Dasar Tujuan Persekutuan ini ialah bagi memajukan anak-anak menjadi rakyat yang baik dengan membentuk sifat perangainya - melatih tabiatnya supaya biasa tajam pemerhatiannya, menurut perintah dan percayakan kebolehan dirinya - menanamkan semangat taat setia dan menimbangkan orang lain - mengajar mereka berkhidmat dan berguna kepada orang ramai, dan membuat sendiri benda-benda yang berguna bagi dirinya - memajukan kesihatan tubuhnya, fikirannya dan semangatnya terhadap ugama. Cara latihan yang tertentu bagi PENGAKAP ialah dengan penerimanya sebagai ahli kepada sesuatu persaudaraan yang disukainya, dipandu oleh pemimpin dewasa, yang beransur-ansur dikelolakan sendiri dalam kumpulan-kumpulan lengkongan umur yang bertingkat-tingkat seterusnya dengan membukakan kepadanya berturut-turut dan gerakerja-gerakerja dan kejayaan - kejayaan yang sesama disukai di luar-luar dan peluang-peluang berkhidmat kepada orang lain, dengan memberikan kepadanya beransur-ansur tanggungjawab yang bertambah-tambah untuk dirinya dan orang-orang lain, supaya dia mempunyai kelayakan, berdikari, perangai baik, boleh diharap dan kuasa berkerjasama dan kepimpinan. Dasar dan amalan Persekutuan ini adalah berdasarkan di atas Undang-Undang Pengakap dan Persetiaan Pengakap. Persetiaan Pengakap dan Undang-Undang Pengakap resmi adalah dalam Bahasa Malaysia, tetapi kiranya mustahak, Persetiaan dan Undang-Undang itu dalam Bahasa Inggeris yang disahkan seperti tersebut dalam Peraturan-peraturan ini boleh digunakan
Haji Nawi bin Haji Othman, Pesuruhjaya Pengakap Negeri Kelantan.
|
|
|
|
MESEJ MAJALAH KILATAN BULAN APRIL 2008 PENGAKAP ADALAH ORANG YANG BOLEH DIPERCAYAI AMANAH adalah satu sifat ikhlas yang tinggi dan mulia. Oleh yang demikian setiap insan perlu mempunyai sifat amanah dalam menghadapi perjuangan bagi mencapai matlamat yang diharapkan dan mencapai cita-cita yang luhur dan murni. Sesuatu masyarakat itu tidak akan dapat dibina dengan kukuh dan kuat melainkan hanya di atas asas amanah yang teguh. Dengan jelas kita dapat melihat perbezaan di antara dua jenis manusia iaitu yang beramanah dan yang khianat. Orang yang beramanah akan menjadi tempat kepercayaan orang ramai, sebaliknya orang yang khianat pula akan menjadi sasaran kemarahan orang ramai. Kesimpulannya kejayaan kepada yang beramanah dan kegagalan kepada orang yang khianat. Termasuk dalam erti amanah pada individu itu ia tidak mengeksploitasi tugasnya dan jawatannya untuk mencari kepentingan diri sendiri atau kaum kerabatnya kerana mengambil kesempatan membolot hak orang lain adalah satu jenayah yang besar. Semua masyarakat dan umat menyedari betapa kesan-kesan dari sifat amanah dalam kehidupan mereka. Oleh kerana itu semua masyarakat dan bangsa berusaha untuk menyuburkan sifat itu dalam jiwa anggota masyarakat. Yang mana ianya menjadi faktor utama untuk membawa kepada kemajuan dan kejayaan tamadun satu-satu bangsa dan umat, dengan demikian setiap individu sama ada pemimpin, pegawai, buruh, nelayan, penternak, peniaga dan sebagainya hendaklah ia menjalankan tugasnya dengan sempurna berasaskan kepada sifat amanah. Tanpa sifat ini negara dan bangsa akan runtuh, lemah dan terjadi penyakit-penyakit kerosakan dan penyelewengan yang akan membawa kepada kehancuran umat dan negara, seterusnya akan membawa kepada kehilangan kuasa dan akan menjadi hamba kepada umat lain. Keagungan dan ketinggian sesuatu umat dan bangsa itu dapat mengatasi umat yang lain adalah kerana kekuatan dalam memegang amanah bagi melaksanakan sesuatu tanggungjawab yang dipikul atau diberikan kepada mereka untuk melaksanakannya. Tegasnya amanah adalah asas kepada keutuhan umat, asas kepada kestabilan negara, asas kepada kekuasaan dan kehormatan di samping menjadi jasad dan roh keadilan tanpa amanah kesemuanya akan musnah. Orang yang dipertanggungjawabkan memegang jawatan dengan dibayar ganjaran yang tertentu sekiranya ia mengambil yang lebih, ianya tidak amanah kerana perbuatan yang demikian menipu dan mencuri hak orang lain. Sesetengah daripada sifat amanah itu ialah orang tersebut bersungguh-sungguh menunaikan kewajipan dengan seberapa daya dan usaha dalam setiap urusan yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Hendaklah kita mengamal dengan sifat amanah dalam setiap aktiviti kita, dengan itu kita akan menjadi orang yang beramanah dan bertanggungjawab pada setiap kerja yang kita lakukan, lebih-lebih lagi bagi seorang pemimpin, pegawai dan kakitangan kerajaan yang ditugaskan ke arah mencapai matlamat pembangunan rohani dan jasmani untuk sekalian umat. Andainya kita tidak beramanah maka sudah tentu matlamat tersebut tidak akan tercapai dan menjadi hampa kesemuanya. Marilah kita semua sama-sama berusaha untuk menghayati dan memelihara sifat amanah di sepanjang hayat kita supaya kita semua berada dalam keredaan dan nikmat Allah sepanjang masa.
Haji Nawi bin Haji Othman, Pesuruhjaya Pengakap Negeri Kelantan.
|
|
|